• Home
  • Mengenai Saya
  • Hubungi
  • Akademi
  • Dikir Barat
  • Pertandingan
  • Umum
  • Uncategorized
  • 14
    Oct

    Dunia Gerbang Maya Daku…


    arjunsukma

    Alhamdulillah..setelah bertungkus lumus selama beberapa abad yang lepas, hari ini berjayalah daku menyambung tugas hakikiku dalam melengkapkan  sebuah perjalanan di alam ketenanganku.

    Suatu waktu dulu aku pernah berkelana di alam yang sama, namun dek kerana takdir yang tidak dipinta mengunjungi suratan…aku terpaksa menangguhkan atur tapak ini untuk ke destinasi seterusnya.

    Dalam proses menjayakan pengembaraan ku ini, aku tidak pernah terlupa orang yang cukup berjasa pada diriku di alam maya ini, iaitu Mr Senok @ Sere yang tak pernah jemu membentuk kesabaran dan ketabahanku. Dia lah orang yang bertanggungjawab menyelinapkan diriku ke suatu dunia yang dulunya teramat asing bagiku…jatuhnya jasad aku di sini, aku terpinga-pinga…benarkah dunia seni yang aku dukung ini akan menjalar seluas ini.? Senok juga bertanggungjawab mengajar daku bertatih walau kerap jatuh dari bangunnya namun hari ini dia layak berbangga kerana aku sudah boleh berlari lari sebagai muridnya dalam dunia ini.

    Kini, hari ini..saat ini..aku tidak mahu berpaling lagi..semoga sahabat serta taulan dapat memberi sokongan sebaik mungkin.

    Filed under - Akademi 13 Comments so far. Add yours now

  • 03
    Sep

    Akar Berpulas Sakit, Pucuk Meliuk Subur


    Assalamualaikum..

    Di kesempatan ini dengan rasa ria disebalik kelapangan ingin hamba coretkan beberapa patah tulisan memenuhi ruangan yang sunyi diselimuti gempita ini.

    Diakhir-akhir ini hamba perhatikan perkembangan dikir barat seluruh negara agak menyubur dalam lingkungan yang tersendiri..tak sunyi dari pengisian program berbentuk persembahan, pertandingan dan seangkatannya. Majlis yang diadakan keseluruhannya sudah menerima dikir barat jika majlis tersebut ada rangkaian dengan penggiat dikir. Satu perkembangan yang memberangsangkan. Dalam pada itu juga kemeriahan pertandingan yang dianjurkan dalam berbagai jenis acara besar walau hanya menjadi penyelit namun cukup mendapat sambutan.

    Apa yang mahu digemburkan pada permukaan landai ini..Pematuhan undang-undang dalam setiap pertandingan yang diadakan. Dari dulu lagi hamba sendiri selalu memperincikan jika ada persoalan sejauh mana satu undang-undang itu ditepatkan dengan syarat dan diterima faham oleh pendikir sendiri. Kebiasaanya format keaslian diambil kira dalam setiap pertandingan, tetapi ramai lagi yang masih keliru dengan keaslian yang perlu diisi dalam pertandingan. Contohnya lagu jogho…adakah masih dikira dalam sudut keaslian jika dipertandingkan lagu jogho yang mempunyai pantun enam kerat? Di sini hamba perlu kata putus dari penggubal undang2 dikir supaya kekeliruan kepada generasi mendatang tidak menjadi igauan ngeri pada generasi hari ini.

    Hamba cukup terguris dengan sesetengah orang yang cuba mempersenda bila kita mahu penjelasan yang lebih halus dan tepat berkenaan undang-undang ini dari pelopor yang lebih berusia dari kita. Jika bertanya sesuatu kemushkilan yang bunyinya agak ringan dan lekeh tapi pada hamba boleh melahirkan kekhilafan yang agak gebu di masa hadapan, lantas diderai gelak tawa sinis akan kesungguhan kita merungkai yang dipandang remeh itu. Golongan sebeginilah yang akan ternganga dan yang lebih parahnya bila dibuat-buat tahu bila dihujani oleh pengkaji2 dikir yang baru suatu hari nanti.

    Bagi hamba…bermegah dengan pengetahuan setakat sedia ada tanpa memberi manfaat pada orang lain lebih hina dari menghulurkan dulang kejahilan untuk memperkasakan pengetahuan walau persoalan hanya seberat kuman kurus tidak cukup bulan…

    Di sini juga hamba mahu menyarankan agar badan-badan kuasa besar dikir barat mengadakan satu langkah penerangan khusus tentang keaslian dikir barat dalam bentuk pertandingan agar pertikaian sesama kumpulan dan jurulatih yang mengembangkan dikir barat dapat dielakkan. Hamba percaya antara kita pasti masih mencari suatu titik utuh untuk berpegang sebagai landasan yang sah dalam menjatuhkan hukum2 dikir dengan lebih selesa dan yakin bukannya berpegang pada ilmu ‘atas rasa’.

    Tidak sebesar mana tugasan untuk menggubal satu syarat khas dan diwartakan untuk kegunaan generasi masakini dan generasi menjelang. Persatuan Dikir Barat Kelantan atau pun Koperasi Dikir Barat Berhad ada kekuatan ini, kenapa perlu menunggu bulan jatuh keriba sebelum cucu dan cicit memanjat pepohon kacang panjang menggapai bintang..

    Suara hamba hanya dijemari…kekata hamba hanya pintasan akal, namun jambatan penghubung kepada pelaksana upaya masih gagah menghulur wadah ini..harap kesampaian…Coral Blue From Port Klang with love.. Grin

    abeyie@arjunasukma

    Filed under - Akademi 2 Comments so far. Add yours now

  • 22
    Aug

    Ulasan Pertandingan Dikir Barat Karnival Seni Pencegahan Dadah Peringkat Kebangsaan


    Assalamualaikum dan salam sejahtera…

    Alhamdulillah…disebalik kesibukan berkejar ke hulu hilir bawa bekal semangat di jiwa, maka terselitlah sedikit ruang waktu untuk hamba mencoret beberapa patah kata sebagai melempias gian bersama handai taulan.

    Tanggal 17-18 Ogos yang lalu berlangsunglah Pertandingan Dikir Barat Karnival Seni Pencegahan Dadah Peringkat Kebangsaan yang bertempat di KB Mall, Kota Bharu, kelantan. Setelah berpenat lelah mengejar beberapa kerat anak-anak yang dahagakan dikir barat, maka telah ditapis dari beberapa buah sekolah, di saring ke peringkat daerah diikuti negeri…lalu terlepaslah beberapa sekolah di bawah didikan hamba ke peringkat kebangsaan seperti di atas.

    Bermula dari hujung Januari sesetengah sekolah sudah bertungkus lumus membuat pemilihan tok jogho, tukang karut, pemuzik dan juga awak2. Sekolah yang lebih serius dan bervisi serta misi lebih gigih dan ghairah serta tahu apa yang patut diburu untuk kemuncak kebangsaan tersebut.

    Pada hari kemuncak tersebut terkeluarlah benih-benih yang berbeza tahap kematangannya bergantung pada masa yang disemai sebelum dituai. Di sebalik penat lelah itu, syukur..benih dari Sabah, Kedah, Melaka dan Putrajaya melepasi tapisan dimaksudkan dan berpeluang merasa panas hangat di pentas Kebangsaan, yakni kemuncak terhebat benih-benih baru di peringkat sekolah menengah.

    Bermula wisel bermulanya pertandingan, benih bongsuku melangkah ke gelanggang meluahkan bagaimana buah dituai setelah disemai. Mewakili Putrajaya, cukup merimaskan jiwa hamba kerana masa yang diperuntukkan untuk membikin sang juara begitu singkat. Tapi apakan daya, rezeki setakat itu, sekurangnya memberi pengalaman berharga.

    Diringkaskan cerita, pengamatan hamba pada keseluruhan pertandingan…masih ada dua kasta lagi dalam pertandingan berprestij itu. Kasta yang hamba maksudkan ialah peringkat kefahaman tentang dikir barat. Masih ada lagi negeri2 yang jauh lebih terkebelakang ditinggalkan negeri2 yang sudah meresap akan roh dikirnya. Bagaimana itu terjadi? Wakil peringkat kebangsaankah sebegitu rupa? Samada seluruh negeri belum mengenali dikir barat atau hakim yang dilantik diperingkat negeri silap pilih yang mana layak?

    Dari segi keputusan yang diadili oleh hakim2…hamba sendiri masih mencari-cari bagaimana hakim2 berkenaan memegang prinsip untuk menjatuhkan hukuman. Adakah berpegang pada keaslian sepenuhnya atau berpaksi kontemporari. Jika anda salah seorang penonton pada pertandingan tersebut, sudah tentu anda juga boleh mendalami apa yang hamba maksudkan. Contohnya Sabah…bergelar johan dan persembahannya bermazhab keaslian dalam rukunnya, manakala Trengganu ditangga kedua dan diikuti Kelantan bagi saya ada sedikit ketinggalan jika dipandang dari sudut keaslian. Di mana ketinggalannya?? Jika diperhati Trengganu :-
    1.   Tidak tepuk tangan pada kiraan gong semasa Tok Jogho mengalunkan pantun.(Rangkap pertama)
    2.   Tidak tepuk tangan semasa sambut karut Yengki
    3.   Lagu Penutup@Irama Wau Bulan disadurkan menjadi sebuah irama baru samada disengajakan atau ingin serlahkan pembaharuan.

    Kelantan :-

    1.   Gaya terlalu bersahaja seorang tukang karut.
    2.   Tidak tepuk tangan di atas kiraan gong semasa pantun tukang karut dalam lagu penutup@wau bulan.

    Adakah perkara-perkara ini tidak diambil serius untuk dibuat pembetulan sepenuhnya agar nilai seni dikir ini lebih terperinci dari segi hukumnya…kerana, apa yang hamba pelajari…dikir barat tidak boleh dipisahkan dengan tepuk tangan. Tepuk di atas kiraan gong…Samada tepuk berganda atau tunggal di atas gong, tepuk mestilah tepuk…jangan menganak tirikan bunyi gong, memencilkan tepuk tangan jika bernama dikir barat. Seumpama mandi junub tidak rata akan airnya keseluruh badan…tidak lengkap rukun maka terbatallah kewajipan tersebut. Bukan apa, jika suatu hari negeri lain naik berdikir tanpa tepukan, apak yang hakim mahu katakan?apakah itu juga dikir barat??Sediakan payung sebelum berintik..

    Sekian saja sedikit huraian serba ringkas berkait keputusan pertandingan tersebut…Apapun terima kasih kepada semua penyokong Akademi Arjunasukma.

    Abe yie@arjunasukma

    Filed under - Akademi 11 Comments so far. Add yours now


  • Page 10 of 10« First...«678910

RSS Feed

Subscribe to feed
get the latest updates!


  • Entri Terkini

    • Menggapai Kerlipan Bintang
    • Penerimaan Dikir Barat Di Arus Perdana
    • Pertandingan Dikir Barat Perbadanan Putrajaya
    • Bukan hanya sekadar lagu..
    • Ukurlah kemampuan dan realiti..
    • Akulah Artis…
    • Salam penghubung bicara…
    • Ulasan Pertandingan Dikir Barat Kebangsaan RTM 2010
    • Mini Dikir TV1
    • Jaguh Pesona 9
  • Comments

    • arjunasukma » Terima kasih atas sokongan bro..gagah..haha ...
    • datuk d » semoga entri-entri untuk menyebarkan maklumat meng ...
    • azlan alwi » pertandingan dikir barat mpsj pada 12hb feb 2012. ...
    • j_cheroh » knpa nk buruk kn hiburan tanah air kita sdri,sdgkn ...
    • zul » zaidi brlagak kuat,hbis tinow dia tdow..ramona tu ...
  • Arkib

    • May 2012
    • October 2011
    • September 2011
    • November 2010
    • October 2010
    • September 2010
    • August 2010
    • July 2010
    • June 2010
    • May 2010
    • March 2010
    • February 2010
    • January 2010
    • December 2009
    • November 2009
    • October 2009
    • September 2009
    • August 2009
    • July 2009
    • June 2009
    • May 2009
    • April 2009
    • March 2009
    • February 2009
    • January 2009
    • December 2008
    • November 2008
    • October 2008
    • September 2008
    • August 2008

Akademi Dikir Barat Arjunasukma © 2012. All rights reserved.
A quality product by KreativeThemes