Semenjak puasa bermula, kepala otak pun tidak seaktif biasa untuk sediakan modal untuk mengarang. Mungkin kerana kesuntukan masa, keletihan badan dan yang paling wajar jawapannya adalah ‘malas’.
Kali ini, hamba ini berkongsi kisah perjalanan hamba mencari ‘ttawak jawa’. Abah hamba selalu menggunakan istilah ttawak jawa dari hamba kecil lagi. Tapi hamba tak pernah ambil peduli dengan perkataan itu. Jauh sekali untuk nak bertanya apakah bendanya.
Kini, setelah hampir separuh dewasa, hamba telah tersampuk dek virus gila ttawak jawa ini. Ttawak jawa atau gong tembaga tuang ni bagi sesetengah orang tidak memberi apa-apa makna. Tapi amat jauh berbeza dengan keadaan hamba lalui sekarang.
Pulang ke negeri asal hamba, Kelantan Darulnaim. Niat untuk menyeberang ke selatan Thailand kerana dikhabarkan di sana masih ada saki baki kumpulan wayang kulit dulu-dulu. Namun niat itu dicantas oleh abah kesayangan kerana dikhuatiri dengan keadaan keselamatan di sana pada waktu ini. Maka terpaksalah membatalkan rancangan pertama itu.
Hamba terpaksa mencari pelan lain. Lantas kepala otak terlintas untuk mengheret tok agel untuk membawa jalan mencari gong tembaga tersebut. Kami merayap ke daerah machang dan kuala krai sahaja. Itu yang sempat kami jelajah. Tapi hasilnya tetap mengecewakan. Ada bendanya, tuan tak nak jual…tuan nak jual..barang tidak berkenan di hati. Begitulah perselisihan keadaan yang membuatkan tiada jawapan yang mengembirakan.
Apa yang hamba ingin berkongsi di sini…berbagai karenah pemelihara gong ini. Ada yang makan bunga..ada yang berselimut kain kuning..ada yang makan pulut..ada yang mengamuk sekali sebulan dan bermacam macam lagi. Hamba turut terfikir..jika hamba membelinya…bagaimana hamba nak memeliharanya ya?